Tuesday, 5 July 2011

Mengkudu - cantikkan rambut


Buah mengkudu semakin dikenali dan popular pada masa kini kerana ramai yang telah tahu dan prihatin akan khasiat buah tersebut.  Salah satu diantara khasiat buah mengkudu yang ingin saya tekankan buat kali ini adalah sumbangannya kepada kecantikan rambut.

Untuk pengetahuan anda, buah mengkudu mampu mengatasi masalah keguguran serta menghaluskan struktur rambut.  Apa yang perlu anda lakukan adalah, ambil buah mengkudu yang telah masak, kisar hingga halus.  Setelah itu, campurkan dengan telur itik dan lumurkan pada rambut.  Biarkan selama 10 minit, kemudian bilas hingga bersih.  Amalkan seminggu sekali sehingga mendapatkan hasil yang diinginkan. 

Monday, 4 July 2011

Amalan membaca Al-Quran - Cegah Strok dan penyakit Jantung



Menurut Profesor Takeshi Tanigawa dari Universiti Ehime, Jepun, yang saya baca dari majalah Keluarga Harmoni Bil: 111;  karaoke merupakan pilihan tepat bagi golongan pekerja untuk melepaskan kepenatan dan menghilangkan stress akibat rutin pekerjaan.  Menyanyi menyebabkan anda terpaksa mengawal nafas secara teratur yang mana sangat baik untuk mengendurkan saraf tegang dan melancarkan pengaliran darah; sekaligus merendahkan masalah penyumbatan salur darah.

Pada pendapat saya, bagi orang Islam, membaca al-Quran juga memberikan kesan yang sama malah mungkin lebih baik, kerana,  membaca al-Quran dengan tajwid yang sempurna menyebabkan secara tidak langsung kita terpaksa mengawal pernafasan dengan baik.  Dengan mengamalkan membaca al-Quran selalu insyaallah, disamping menyediakan bekalan untuk akhirat, kita juga mendapat kesihatan tubuh badan dan ketenangan jiwa.  Maha Suci Allah.. Dialah yang Maha Mengetahui sesuatu.

Thursday, 30 June 2011

Bihun goreng

Bahan-bahan:
  • 1/2 bungkus bihun (rendam dan tuskan)
  • 100 gm isi udang
  • 100 gm isi ayam (dikisar)
  •  10 gm cili kering (dikisar)
  • 5 gm bawang merah (dikisar)
  • 1- gm bawang putih (dikisar)
  • 200 gm sayur kubis (dihiris)
  • 200 gm sawi (dihiris)
  • 100 gm tauge
  • 2 biji telur ayam
Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga kekuningan.
  2. masukkan cili kering, sebiji telur, isi udang dan ayam.  kacau hingga masak.
  3. Masukkan bihun dah kacau rata.
  4. Masukkan sawi, tauge, kubis serta garam secukup rasa dan kacau rata.
  5. Setelah digaul rata, boleh la diangkat.
  6. Hiaskan dengan telur dadar yang telah di hiris kecil-kecil.

Tuesday, 14 June 2011

10 tips mengurangkan kedutan


Kehadiran kedutan dimuka adalah amat digeruni oleh kebanyakan wanita kerana ia akan menampakkan diri telah dimamah usia.  Walaupun ia sukar untuk dielakkan 100 peratus, usaha untuk mengurangkan kehadirannya perlu dilakukan agar wajah tanpak lebih muda dan jelita.  Kehadirannya juga harus diminimakan agar wajah tidak kelihatan lebih tua dari usia. 

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk meminimakan kedutan dan untuk menganjalkan kulit, iaitu:

1.  Mengamalkan pemakanan yang sihat

Diri anda adalah apa yang anda makan.  Ambillah makanan yang menyumbang kepada kesihatan kulit iaitu lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.  Ia mampu membantu memperbaiki struktur kulit.  Hendaklah mengurangkan pengambilan makanan segera, makanan berminyak dan makanan berlemak.

Monday, 13 June 2011

Tips menghindari kumbang / kutu beras


Masalah kumbang beras di dalam bekas simpanan beras adalah satu perkara yang sering dihadapi oleh kebanyakan dari kita termasuk saya sendiri.  Walau bagaimana rapat pun bekas simpanan beras tersebut ditutup, ia tetap juga hadir.  Ia kadang kala amat merisaukan kerana ia memakan dan merosakkan beras.  Kadangkala, agak pelik juga kerana tidak diketahui dari mana datangnya kutu beras tersebut.

Setelah bertanya kepada orang tua-tua, di sini saya ingin berkongsi tips yang saya dapat iaitu cara untuk menghalau kutu beras tersebut. Caranya adalah, memasukkan beberapa tangkai cili kering kedalam bekas beras. Sebaik-baiknya ianya ditimbuskan kedalam beras.  Cara ini akan manghalau kumbang-kumbang tersebut keluar dari bekas simpanan beras dan akan menghalang dari ia dari mendekati bekas tersebut semula.

Di harap tips ini dapat menyelesaikan satu dari masalah yang dihadapi oleh pembaca semua.

Sunday, 12 June 2011

Tips menghilangkan kesan hitam di siku dan lutut


Ramai di kalangan kita mengalami kesan hitam di lutut dan siku.  Ia serba sedikit mencacatkan penampilan terutama sekiranya kita memakai pakaian berlengan pendek yang pasti akan mendedahkan siku. Keadaan siku yang berwarna gelap dan kehitaman ini serba sedikit juga akan mengurangkan keyakinan diri kita untuk berhadapan dengan khalayak ramai.

Di sini saya akan berkongsikan sedikit tips yang mampu membantu mereka mereka yang mengalami masalah siku dan lutut hitam ini.  Caranya adalah, ambil beberapa helai daun sirih lalu sapukan dengan sedikit kapur sirih dan minyak zaitun.  Gosokkanlah campuran ini ke lutut dan siku yang menghadapi masalah tersebut setiap hari.  Kesan itu akan sedikit demi sedikit beransur hilang.  Anda akan mendapat siku dan lutut yang cantik semula.


Tuesday, 31 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Minum akar kayu dan jamu, makanan berkhasiat untuk yang berpantang

Minum akar kayu dan jamu

Semasa dalam tempoh berpantang, para ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu.  Ia dapat membantu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran sepanjang tempoh berpantang.  Ia juga dapat membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam.  Tetapi jika ada tanda-tanda anak anda tidak ingin menyusu badan dan mengalami cirit birit ketika anda mengamalkan meminum akar kayu dan jamu ini, sebaiknya  pengambilannya diberhentikan untuk kebaikan anak anda.

Makanan berkhasiat untuk yang berpantang

Pada minggu-minggu awal selepas bersalin eloklah memakan makanan yang kering bagi mengecutkan perut.  Elakkan makanan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak.  Elakkan juga meminum air yang terlalu banyak dan berais.  Meminum minuman tersebut ketika pantang bersalin dikuatiri akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. 

Pada masa berpantang 44 hari ini sebaiknya diperbanyakkan memakan ulam-ulaman seperti pegaga, kunyit, halia, cekur, mengkudu dan sebagainya kerana ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang.

Semoga apa yang saya paparkan diatas ini dan di artikel-artikel sebelumnya dapat memberi ilmu dan manfaat sedikit sebanyak kepada pembaca semua terutamanya para bakal ibu.

Monday, 30 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Berurut dan mandian dedaun

0Berurut

Berurut adalah salah satu rawatan lepas bersaling yang amat penting.  Ia bertujuan untuk melancarkan pengeluaran darah nifas dan kekotoran, memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah , membuang angin, membetulkan urat serta memperkemaskan bahagian perut. 

Berurut ini sebaik-baiknya dilakukan selepas seminggu bersalin selama tiga hari berturut-turut.  Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku.  Pastikan ianya dilakukan oleh bidan atau tukang urut berpengalaman. 

Mandian dari dedaun dan  herba


Semasa dalam pantang, elakkan mandi terlalu kerap. Setelah selesai bertungku dan berurut, sebaiknya mandi menggunakan air rebusan dedaun dan herba.  Antara daun yang boleh digunakan di dalam ramuan mandian tersebut adalah daun kunyit terus, daun legundi, daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai, daun mengkudu dan rempah halba.

Mandian dari daun-daun tersebut dapat mengeluarkan angin dalam badan, mengendurkan otot yang tegang semasa proses bersalin, menghaluskan kulit dan juga dapat membantu untuk awet muda.

Bersambung di artikel seterusnya.





Sunday, 29 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Pamakaian param dan pilis, berbengkung

Pemakaian param dan pilis


Param hendaklah disapukan keseluruh badan.  Ia bertujuan untuk mengelakkan badan dari masuk angin.  Pemakaian pilis di dahi pula adalah bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita selepas bersalin.  Param dan pilis pada zaman sekarang ini mudah didapati kerana banyak syarikat menyediakan set selepas bersalin seperti Set Bersalin Ibu Halimah yang disediakan oleh Syarikat Jamu Mak Dara.



Berbengkung

Berbengkung adalah bertujuan untuk mengelakkan pengumpulan lemak di bahagian perut (untuk mengelakkan gejala buncit) dan juga pinggul (mengelakkan pinggul dari kendur).  Bengkung hendaklah di dengan ketat dan kemas bermula dari bahagian bawah payudara sehinggalah meliputi bahagian pinggul.  Pada masa sekrang juga banyak bengkung-bengkung yang dijual dipasaran yang mudah cara pemakaiannya.

Saturday, 28 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Bertangas

Bertangas

Bertangas bertujuan untuk mempercepatkan proses penymbuhan luka dan jahitan.  Ia juga mampu mengeringkan, mengetatkan dan mengecutkan rahim serta otot-otot yang kembang semasa proses mengandung dan bersalin.  Ia juga bagi mengelakkan prolapse ( keluar tombong).

Bahan-bahan yang digunakan untuk bertangas adalah seperti asam gelugur, garam jantan, daun sirih, daun inai, halia dan biji manjakani.  Bahan-bahan tersebut hendaklah direbus bersama air sehingga mendidih.  Lakukanlah proses bertangas ini selama lebih kurang 20 minit.  Untuk mendapatkan kesan kebaikan yang maksimum, lakukanlah bertangas ini selang dua atau tiga hari sehinggalah habis tempoh berpantang iaitu tempoh berpantang 44 hari.  Air rebusanyang telah sejuk jangan dibuang.  Gunakan ia sebagai air pencuci ( bercebok).


Friday, 27 May 2011

Rawatan dan fungsi berpantang selepas bersalin - Bertungku

Berpantang selepas bersalin adalah satu proses pemulihan yang amat penting bagi wanita yang baru melahirkan anak.  Masyarakat Melayu biasa mengamalkan berpantang samada 44 hari atau 100 hari.  Rawatan pemulihan yang biasa dilakukan semasa berpantang yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak turun temurun adalah seperti bertungku, berurut, bertangas, mandi air daun kayu herba, berpilis, memakai bengkung, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang dari segi makan dan minum.  Dibawah ini saya sertakan fungsi dan kelebihan proses-proses berpantang tersebut.

Bertungku
  • Bertungku mampu menghangatkan badan si ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah.  Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku.
  • Amalan ini boleh diteruskan hingga habis tempoh berpantang.  Kesan panas pada tungku mampu merawat bahagian badan semasa proses bertungku.
  • Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal peha, berhampiran ari-ari/bawah pusat, diatas perut (bawah buah dada) serta tumit.
  • Balutkan tungku dengan daun herba seperti mengkudu atau daun sirih untuk kesan yang lebih baik.
Bersambung di artikel akan datang

Friday, 20 May 2011

Khasiat daun sup


Dalam istilah saintifik, daun sup atau daun saderi dikenali sebagai Apium graveolens.  Ia adalah merupakan ramuan yang penting untuk masakan sup.  Ketiadaan daun sup dalam masakan sup adalah umpama tak menggunakan payung ketika berjalan meredah hujan......hmmm!!

Seperti tumbuhan lain, daun sup juga mempunyai pelbagai khasiat.  Antaranya adalah ia dapat menurunkan tekanan darah tinggi.  Cara yang boleh diamalkan untuk menurunkan tekanan darah tinggi adalah, ambil sedikit daun sup, hiris kecil-kecil dan tumbuk bersama sedikit gula.  Setelah ditumbuk lumat, campur kan sedikit air.  Kacau rata, tapis dan ambil airnya.  Amalkan meminum air daun sup ini tiga kali sehari untuk mendapatkan kesan yang optimum.  Cara lain yang lebih mudah adalah dengan merebus daun sup.  Amalkan meminum air rebusan ini tiga kali sehari.

Friday, 6 May 2011

Anggur merah - cuci sistem pencernaan


Kajian International Chemical Congress, Honolulu mendapati bahawa anggur merah kaya dengan antioksidan.   Penelitian ini juga menunjukkan bahawa kandungan zat besi dan gulanya mampu mengeluarkan hampas atau kotoran tubuh yang dapat membantu melegakan pesakit buah pinggang, hati dan sistem pencernaan.

Selain dari itu, anggur juga dapat membersihkan darah sehingga dapat mencantikkan kulit.  Kandungan bahan kimia semulajadi di dalamnya mampu mencegah kanser kulit.  Anggur merah mengandungi 10 jenis plavonoid yang dapat menghambat enzim yang membunuh sel kanser serta menggalakkan reproduksi sel-sel tubuh.

Thursday, 5 May 2011

Susu dan kanser payu dara


Adakah anda tahu bahawa dengan mengamalkan meminum susu sebanyak tiga gelas sehari bermula dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa mampu mengurangkan wanita dari serangan kanser payu dara sebanyak dua kali ganda berbanding mereka yang tidak meminum susu?  Ia adalah benar. 

Sekumpulan penyelidik dari Institute of Community Medicine, Universitu Tromsi, Norway mendapati pengambilan tiga gelas susu atau lebih pada setiap hari dapat mengurangkan risiko kanser payu dara pada wanita pramenopaus yang berusia di antara 34 hingga 39 tahun, terutamanya mereka yang mengamalkan meminum susu sejak zakan kanak-kanak.

Wednesday, 4 May 2011

Kentang halang enapan kolesterol


Kentang yang sering dicampur kedalam masakan seperti gulai masak lemak, kari, sup dan sebagainya mempunyai banyak khasiat.  Antara khasiatnya adalah potassium, vitamin C, kobohidrat kompleks, vitamin B1, B2 dan B3, protein dan zat besi. 

Jumlah lemaknya juga adalah sangat rendah isitu hanya 25 peratus.  Amalan memakan kentang mampu menghalang enapan kolesterol di dalam lapisan salur darah.  Kentang juga sesuai buat individu yang mengalami kekurangan gula dalam darah. 

Kajian mendapati jus kentang mentah boleh mengurangkan artritis dan radang otot.  Manakala luka kecil dan salah urat dapat dilegakan dengan menempelkan hirisan kentang selama 15 minit pada bahagian tersebut.

Monday, 2 May 2011

Dapatkan kulit yang putih gebu dengan susu segar


Mempunyai kulit putih dan gebu adalah dambaan setiap manusia terutamanya kaum hawa yang memang prihatin tentang kecantikan.  Susu segar dapat menyumbang untuk mendapatkan kulit seperti yang diimpikan.  Caranya adalah : 

Ambil sedikit susu segar dan sapukan kepada keseluruhan wajah dan juga tubuh jika mahu.  Gosokkan rata dan biarkan sehingga kering.  Cuci muka dan tubuh anda dengan air suam.  Amalkannya dua kali seminggu.  Insyaallah anda akan mendapat kulit wajah dan tubuh yang putih dan gebu seperti yang diimpikan.

Ayam masak cili padi


Bahan-bahan:
  • 5 ketul ayam
  • 1/2 kilogram santan
  • Sebatang serai (diketuk)
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • 20 tangkai cili padi
  • 1 keping asam gelugur (asam keping)
Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak
  2. panaskan semua bahan hingga garing
  3. Masukkan serai dan asam gelugur
  4. Apabila bahan yang ditumis dah naik bau dan cukup masak, masukkan ayam dan santan.
  5. Masak sehingga ayam empuk.

Sunday, 1 May 2011

Nasi Minyak


Bahan-bahan:
  • 1/4 cawan minyak sapi
  • 2 labu bawang putih (dicincang)
  • 4 labu bawang besar (dihiris)
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 5 cm kayu manis
  • 6 biji buah pelaga
  • 2 cawan beras (basuh dan ditoskan)
  • 2 cawan air
  • 1 cawan susu cair
  • 1/2 cawan kismis
Cara membuatnya:
  1. Bawang besar dan bawang putih digoreng dengan minyak sapi.
  2. Masukkan semua rempah dan goreng selama 5 minit.
  3. Masukkan beras, air, susu cair dan biarkan sampai kering.
  4. Masukkan kismis, kacau rata dan tanak hingga masak.
  5. Bila hendak dihidang, taburkan bawang goreng di atasnya.

Sunday, 3 April 2011

Kepentingan wang buat lelaki

  1. Tanpa wang mana mungkin seorang lelaki bergelar suami menggerakkan agenda rumah tangganya kerana wang perlu untuk kesinambungan hidup.
  2. Wang merupakan satu keperluan untuk meneruskan hidup.  Keperluannya hampir sama dengan udara kerana tanpa wang kita tidak mampu mendapatkan sumber makanan untuk hidup.
  3. Tanpa wang, tiada jaminan kebahagiaan yang betul-betul baik dari seorang lelaki buat seorang wanita.  Ini kerana tanpa "harta" tersebut, bagaimana dia akan memberikan nafkah dalam bentuk wang kepada isterinya apabila mereka berkahwin kelak.
  4. perkahwinan tanpa wang sebenarnya tidak membawa sebarang erti.  Tidak dinafikan, kasih sayang amat penting dalam membina rumahtangga yang bahagia.  Walaupun begitu kepentingan kewangan untuk keluarga juga tidak boleh diketepikan.

Saturday, 2 April 2011

Kenali lelaki melalui sakunya

Suami mempunyai peranan yang amat penting dalam ekonomi rumah tangga kerana beliaulah yang akan menanggung segala perbelanjaan rumah tangga dan menyediakan keperluan untuk isteri dan anak-anak.  Untuk para wanita, tidak lah keterlaluan untuk mengenali pasangan dan melihat cara si dia menguruskan kewangannya dan juga untuk melihat tentang kemampuan bakal suami untuk menanggung keluarga yang akan dibina kelak kerana suamilah tonggak ekonomi rumahtangga. Tidak salah jika seseorang wanita itu bersikap sedikit materialistik.

Cara lelaki berbelanja juga boleh membayangkan sama ada dia dari jenis orang yang berdikari, seorang yang teliti, berfikiran panjang dan sebagainya.  Di bawah ini perkara penting bagi semua wanita untuk melihat dan mengenali cara menguruskan kewangannya.

Friday, 1 April 2011

Matawang USNA A1000 untuk semua





USA, Canada dan Maxico telah bersatu untuk menggunakan duit yang sama dan yang baru.  Nama duit tersebut adalah Amero atau oleh juga dipanggil Usna Amero.  Usna adalah singkatan daripada United States of North America.

Wednesday, 30 March 2011

Kuasa penyembuh Sup Ayam

Sup ayam adalah makanan enak dan mudah untuk disediakan.  Ia juga adalah antara hidangan yang paling disukai oleh rakyat Malaysia.  Di samping rasa enak, adakah anda tahu bahawa sup ayam juga boleh dijadikan sebagai ubat penyembuh penyakit?! 

Sup ayam dikenali juga sebagai food of body and soul kerana khasiat yang dimilikinya.  Kebanyakan doktor mensarankan kepada pesakitnya yang mengalami selsema untuk memakan semangkuk sup ayam panas.  Dipercayai bahawa bawang putih dan lada hitam yang dicampurkan ke dalam sup tersebut mampu mancairkan kahak dan membuang lendir.  Wap yang terhasil ketika sup masih panas juga mampu melegakan hidung tersumbat. 

Asid amino yang dikeluarkan oleh ayam semasa proses memasak juga dikatakan menyerupai acetylcsteine yang selalu digunakan untuk mengubati salur pernafasan.


Udang goreng cili manis


Bahan-bahan
  • 800 gram udnag
  • 10 gram serbuk kunyit
  • 50 gram minyak masak
  • 3 sudu kecil gula
  • 1 sudu kecil garam
Bahan A
  • 60 gram bawang putih ( dikisar)
  • 80 gram bawang besar (dikisar)
Bahan B
  • 100 gram cili merah (dikisar)

Cara membuatnya:
  1. Gaul udang bersama serbuk kunyit terlebih dahulu.  Panaskan minyak dan goreng udang tadi sehingga kekuningan.
  2. Setelah itu panaskan minyak dan tumiskan bahan A sehingga naik bau.
  3. Kemudian masukkan cili merah yang telah dikisar sehingga garing.
  4. Campurkan gula dan garam.
  5. Setelah itu masukkan udang yang telah digoreng tadi dan kacau rata.
  6. Sedia untuk dihidangkan.

Monday, 28 March 2011

Khasiat tempe

Tempe sekarang ini bukan sahaja menjadi kegemaran orang Jawa, tetapi ia telah menjadi makanan kegemaran semua rakyat Malaysia tak kira bangsa dan agama.  Tempe telah diketahui umum memang kaya dengan pelbagai khasiat.  Sepotong tempe mengandungi banyak zat seperti karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin B12, enzim serta komponen antibakteria yang bermanfaat bagi kesihatan tubuh manusia.

Tempe juga dipercayai dapat mencegah penyakit anemia iaitu kekurangan sel darah merah.  Ini adalah kerana tempe mengandungi zat besi yang sangat diperlukan dalam pembentukan sel darah merah.  Di samping itu tempe juga dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah.  Pengambilan sumber kacang soya sebanyak 25 gram sehari dari pelbagai sumber termasuk tempe dapat membantu mengurangkan kolesterol darah.

Sunday, 27 March 2011

Manggis ubati penyakit

Hitam-hitam si tampuk manggis, sungguh pun hitam dipandang manis.  Ini adalah salah satu pantun Melayu yang sering ditujukan kepada si dia yang berkulit hitam manis.  Adakah anda tau bahawa disamping ia enak di makan, ia juga mengandungi banyak khasiat.

Manggis atau nama saintifiknya Garcinia mangostana amat berkhasiat untuk memulihkan sistem imunisasi badan serta mengubati pelbagai jenis penyakit.  Para saintis mengesahkan bahawa bahan aktif  Xanthone yang terkandung dalam manggis berupaya untuk mengubati pelbagai penyakit.  Antaranya adalah alergi, resdung, lelah. darah tinggi, kencing manis, kekurangan darah, ulser, keletihan, gastrik, bengkak usus, melecur, luka-luka biasa pada mulut dan jangkitan kulat.

Selain dari itu, buah manggis juga berkuasa untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit kulit seperti ekzema, psoriasis, gatal-gatal dan lain-lain.  Secara tradisi, kulit buah manggis yang telah dilumatkan digunakan sebagai ubat untuk merawat penyakit malaria, tibi, cirit-birit dan disentri.

Di Thailand, buah manggis yang telah dijemur dan dikeringkan akan dicampurkan ke dalam bahan kosmetik seperti syampu dan sabun untuk menghaluskan kulit.  Manakala rakyat negara China menggunakan kulit pokok manggis sebagai sumber pewarna hitam.

Saturday, 26 March 2011

Air panas menjadikan kulit cepat berkedut

Jangan terlalu kerap mandi air panas jika tidak ingin kulit menjadi kering dan berkedut.  Menurut pakar perubatan, air panas akan menghilangkan lapisan minyak yang akan mendorong pengewapan air dari kulit dengan lebih banyak.  Akibatnya kulit akan terasa lebih kering dan mudah berkedut terutamanya pada bahagian tangan dan kaki.  Sekiranya amalan ini terus diamalkan, ia secara lansung merangsang proses penuaan berlaku dengan lebih cepat. 

Friday, 25 March 2011

Ketawa - Terapi terbaik untuk masalah Obesiti

Ini ada berita baik untuk semua penggemar cerita komedi.  Adakah anda tau bahawa ketawa juga mampu membakar kalori dan membantu untuk menguruskan berat badan!!   Akhbar Daily Star ada menerbitkan laporan kajian, menyatakan ketawa mampu membakar 100 - 120 kalori dan meningkatkan penggunaan tenaga sehingga 20 peratus.  Ia menyamai dengan anda berjalan selama 15-20 minit atau angkat berat 18-27 minit.  Ini bermakna 0.45 - 0.9 kg sebulan.  Ketawa juga mampu membuatkan jantung berdegup dengan lebih pantas dan melancarkan pengaliran darah.  Sewaktu anda ketawa juga, lebih banyak oksigen disedut.  Paru-paru akan mengembang dan otot perut dipaksa bekerja.  

Oleh itu rajin-rajin lah tengok cerita komedi.  Nak tau tak....dua hari lepas saya tonton cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah....he he he kelakar gila.....Tapi syaratnya kenalah bagi perhatian dari awal hingga akhir cerita untuk mendapatkan impak yang maksima....he he he he he


Thursday, 24 March 2011

Penjagaan kulit wajah seiring usia

Kecantikan dan kulit saling berkait rapat.  Kulit terdiri dari beribu sel dan setiap satu daripadanya mengandungi membran, protein serta teras utama yang mempunyai pelbagai fungsi.  Lapisan atas kulit atau epidemis biasanya sangat aktif menghasilkan kulit baru, namun proses tersebut akan semakin berkurangan seiring peningkatan usia.  Jesteru, bagi memelihara kecantikan kulit, sesuaikan keperluan wajah seiring dengan usia anda.

Penjagaan kulit mengikut kumpulan usia

USIA DUA PULUHAN

Dalam fasa umur 20-an, kondisi kulit wajah sukar untuk diduga terutamanya ketika bangun tidur.  Ketika inilah masalah jerawat, kulit kering atau bintik hitam timbul.  Oleh itu anda disarankan menggunakan produk-produk yang boleh mengatasi iritasi kulit.  Ketika usia ini anda tidak perlu lagi menggunakan krim antikedutan.

Friday, 18 March 2011

Bermain golf boleh mengakibatkan diabetes

Adakah anda tahu bahawa racun serangga yang digunakan di padang golf mengandungi trichlorfon iaitu sejenis bahan kimia yang boleh mencetuskan serangan diabetes dan obersiti.  Selain pemain golf, tukang kebun yang menguruskan padang golf juga mempunyai risiko yang sama. 

Risiko penyakit ini telah dibuktikan oleh penyelidik dari Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika.  Mengikut dari kajian mereka, kebarangkalian pemain golf untuk mendapat penyakit diabetes dan obesiti adalah mencapai sehingga 200 peratus.

Thursday, 17 March 2011

Cegah kanser prostat dengan brokoli

Telah diketahui umum bahawa kanser prostat adalah pembunuh kedua tertinggi kaum lelaki.  Walaupun begitu, ia boleh dicegah dengan memakan banyak sayuran hijau terutamanya brokoli.

Memakan sayuran hijau seperti brokoli bukan sahaja memberi nutrisi kepada tubuh badan, tetapi juga ia dapat melindungi lelaki daripada kanser prostat.  Brokoli berpotensi menjadi makanan pencegah kanser kerana ia memiliki mekanisma unik untuk melawan pernyakit berbahaya tersebut.  Mekanisma itu dapat memicu perubahan genetik dalam tubuh, mengaktifkan gen-gen untuk melawan kanser dan menghapuskan gen-gen yang menggalakkan perkembangan tumor. 

Wednesday, 16 March 2011

Cara mengubati kurap cara tradisional

Kurap memang amat ditakuti oleh semua orang.  Jika kurap mula singgah pada kulit badan, ianya amat gatal dan amat susah untuk dihilangkan.  Penyakit kulit ini juga mudah berjangkit jika kita berkongsi pakaian dengan orang yang terkena kurap.  Ia juga mudah merebak ke bahagian lain jika tangan kita menyentuh bahagian lain anggota badan setelah menyentuh bahagian terkena kurap tersebut.

Di sini saya ingin berkongsi kepada anda cara tradisional untuk mengubati penyakit kurap tersebut.  Caranya adalah, ambil beberapa helai daun peria dan cuci hingga bersih.  Kemudian ramas hingga hancur daun tersebut dan gosokkan kepada bahagian yang terkena kurap tersebut.  Ulangilah cara rawatan ini selalu sehingga penyakit kurap tersebut sembuh sepenuhnya.

Tuesday, 15 March 2011

Ubat sakit bengkak pada tekak

Ketika anda mengalami demam, kadang kala anda mengalami rasa sakit pada tekak iaitu sakti pada kerongkong.  Ia pasti menyakitkan ketika anda menelan makanan.  Bagi merawat sakit tersebut, ambil 1 cawan air didih nasi dan biarkan suam.  Minumlah air didih nasi tersebut berulang kali sehingga rasa perit pada kerongkong anda sembuh.

Monday, 14 March 2011

Elakkan pengambilan bawang putih berlebihan

Bawang putih biasanya digunakan untuk menambah perisa masakan.  Bagi sesetengah orang, adalah tidak sah jika tidak mancampurkan bawang putih ke dalam masakan kerana ia akan mengurangkan keenakan dan aroma masakan tersebut terutamanya nasi goreng dan mi goreng.  bawang putih juga dipercayai mempunyai banyak khasiat.  Walaupun begitu anda tidak boleh mengambilnya terlalu banyak dalam sehari kerana apapun yang diambil terlalu banyak akan mengakibatkan kemudaratan.

Adakah anda tahu bahawa jumlah pengambilan yang sesuai diambil dalam sehari adalah tidak lebih dari 5 gram.  Jika bawang putih diambil berlebihan, ia akan mengakibatkan nafas berbau, cirit-birit, muntah, asma, pengurangan kadar protein dan kalsium, dan akan menjejaskan kadar protein dan kalsium dalam darah.

Bagi lelaki pula, pengambilan bawang putih yeng berlebihan akan mengurangkan kualiti dan penghasilan sperma.

Friday, 11 March 2011

Bebas denggi dengan tanaman pengusir nyamuk

Untuk menghalau nyamuk, kebanyakan dari kita menggunakan penyembur nyamuk.  Ia hanya bersifat sementara kerana apabila kesan dari penyembur nyamuk itu habis, masalah nyamuk akan kembali menghantui diri.  Oleh itu disini saya ingin berkongsi dengan anda cara menghalau nyamuk cara berterusan dan lebih alami dan baik untuk kesihatan dan ketenangan fikiran.

Ada beberapa jenis tumbuhan yang anda boleh tanam di persekitaran rumah anda.  Antara tanaman itu adalah :

1.  Geranium
Geranium atau nama latinnya Pelargonium Citrosa biasanya ditanam di luar rumah.  Ia tumbuh merumpun dan mengandungi zat Citronella yang mengeluarkan bauan apabila ditiup angin.  Bauan inilah yang membuatkan nyamuk-nyamuk mneghindari rumah anda.


Thursday, 10 March 2011

Asap rokok rosakkan rambut

Menurut para penyelidik, asap rokok mampu menyebabkan keguguran rambut dan menjadikannya cepat beruban.  Kajian juga menunjukkan bahawa asap rokok dapat merosakkan kelenjar dan hormon pertumbuhan rambut. 

Penelitian yang dilakukan kepada 600 lelaki dan wanita yang sebahagiannya adalah dari golongan perokok menunjukkan bahawa perokok lebih cepat beruban berbanding bukan perokok. 

Di dalam kajian lain yang dilakukan keatas 740 lelaki Taiwan berusia dalam lingkungan 40 hingga 91 tahun pula mendapati hanya mereka yang menghisap rokok secara berterusan atau mempunyai salasilah keluarga yang merokok yang mengalami masalah kebotakan.

Oleh itu, jika anda yang sentiasa inginkan rambut yang sihat dan cantik sehingga ke hari tua, jauhilah dan berhentilah dari tabiat merokok yang lebih banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan.

Sunday, 6 March 2011

Khasiat daun kesum

Daun kesum memang tidak asing dikalangan masyarakat Melayu.  Ia sering dicampurkan kedalam laksa dan masakan asam pedas.  Selain mengenakkan makanan, adakah anda tahu bahawa ia mengandungi banyak khasiat.  Diantara khasiatnya adalah :

1.  Air rebusan daun kesum jika diminum dengan teratur, mampu mambantu memulihkan masalah makanan tidak hadam di dalam perut.  Ia juga baik diamalkan oleh wanita yang baru melahirkan anak.

Saturday, 5 March 2011

Tips penjagaan rambut agar sentiasa sihat berkilau

Bagi yang berkemampuan, pasti tidak mempunyai banyak masalah kerana mampu untuk pergi ke pusat rawatan rambut dan menggunakan produk-produk rambut yang berkualiti di pasaran.  Bagi yang kurnag berkemampuan, dibawah ini saya ingin berkongsi cara penjagaan rambut agar sihat berkilau tanpa menggunakan modal yang banyak.  Cara-caranya adalah :

1.  Amalkan gaya hidup sihat.
Kepada perokok, hentikanlah tabiat tersebut kerana ia boleh menyebabkan kulit menjadi kering.  Kulit yang kering jika tidak dirawat boleh menyumbang kepada keguguran rambut.  Bahan kimia yang terkandung dalam rokok juga menyumbang kepada kerosakan dan keguguran rambut. 

Singgang daging

Bahan-bahan:
  • 500 gram daging (dihiris)
  • 3 keping asam gelugur
  • 1 sudu besar ketumbar (dikisar kasar)
  • 1 sudu kecil jintan manis (dikisar kasar)
  • 10 tangkai cili padi
  • Garam secukup rasa

Bahan hiris :
  • 3 ulas bawang putih
  • 4 cm lengkuas
  • 3 cm kunyit hidup

Cara membuatnya:
  1. Daging dihiris dan dibersihkan.
  2. Satukan kesemua bahan dan renihkan sehingga daging empuk.
  3. Masukkan cili dan garam secukup rasa.  
  4. Didihkan sebentar dan bolehlah dihidangkan.

Wednesday, 2 March 2011

Panduan untuk menurunkan paras kolesterol

Paras kolesterol yang tinggi adalah tidak baik untuk kesihatan badan dan jantung anda.  Selain dari mengurangkan memakan makanan yang mempunyai kolesterol yang tinggi, kolesterol yang sedia ada di dalam badan juga harus dikurangkan.  Berikut adalah makanan yang disarankan untuk anda mengambilnya untuk membantu mengurangkan kolesterol di dalam badan.

Sunday, 27 February 2011

Sembilan rahsia kekalkan berat badan ideal

Untuk mengekalkan berat badan ideal bukanlah perkara mudah. Berat badan seringkali turun naik umpama yoyo, berat badan turun sedikit dengan segala usaha susah payah, tetapi berat badan naik amat mudah sekali apabila kita meninggalkan sebentar usaha untuk berdiet dan senaman.  Dibawah ini saya sediakan tips-tips yang diharap dapat membantu anda dan diri saya sendiri dalam mengawal berat badan.

1.  Berhenti sebelum kenyang
Setiap kali berdepan dengan makanan yang menyelerakan, setkan dalam minda anda untuk makan mengikut keperluan sahaja dan bukan mengikut selera dan kehendak.  Amalkan mengunyah makanan dengan perlahan-lahan dan kawal selera anda dan berhentilah makan sebelum kenyang.

Friday, 25 February 2011

Khasiat daun pudina

Daun pudina mempunyai banyak khasiat.  Antaranya adalah ia mampu meredakan kekejangan otot, merawat cirit-birit, melegakan deman selsema dan menghilangkan rasa loya.  Ini adalah kerana daun pudina bersifat antiseptik, antiparasit dan antivirus.

Amalan memakan daun pudina dapat merangsang pengeluaran peluh.  Daun pudina yang dijadikan ubat sapu dapat merawat sakit kepala, selsema dan sakit-sakit badan.  Daun pudina yang dijadikan minyak pula dapat mengatasi rasa mual dan meningkat daya penumpuan.

Thursday, 24 February 2011

Jus tembikai hapuskan toksin

Dengan mengamalkan meminum jus tembikai akan dapat membantu melancarkan pengaliran darah.  Ia juga dapat membantu menghapuskan kesan-kesan toksin dalam darah.  Ia amat bermanfaat bagi pengidap artritis, gout serta individu yang mengalami keracunan uremik yang disebabkan oleh asid urik yang berlebihan dalam tubuh.

Jus tembikai juga mempu memberi tenaga dan kekuatan pada warga emas.  Ia juga mampu memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi individu yang baru menjalani pembedahan.

Wednesday, 23 February 2011

Khasiat jambu batu

Jambu batu mengandungi banyak khasiatnya bermula dari buah hinggalah ke akarnya.  Ianya juga sering menjadi salah satu ramuan dalam bidang perubatan dan kecantikan.  Antara manfaat jambu batu adalah:

1.  Luka
Untuk mengubati luka, ambil beberapa helai daun jambu batu kemudian cuci dan giling hingga lumat.  Selepas itu tempelkan pad aluka dan balut dengan kain.  Tukar kain pembalut dan ramuan daun jambu sebanyak tiga kali sehari sehingga luka sembuh.  Air rebusan daun dan kulit batang jambu batu juga boleh digunakan untuk mencuci luka kerana daun dan kulit batang jambu batu mengandungi zat anti bakteria yang dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Tuesday, 22 February 2011

Khasiat dalam sebiji epal

Terdapat dua jenis epal iaitu epal hijau dan epal merah.  Kedua-dua jenis epal ini mempunyai khasiat yang sama penting.  Antara khasiatnya adalah:
  1. Epal kaya dengan vitamin A, B kompleks dan C.
  2. Mengandungi serat dan kalori yang tinggi.  Lima gram serat dalam sebiji epal bersamaan dengan 20 peratus serat yang diperlukan oleh manusia dalam diet harian.  Ia boleh membantu dalam proses mengawal berat badan kerana serat berupaya melambatkan rasa lapar.  Kalori yang tinggi pula berfungsi memberikan tenaga.
  3. Ia mengandungi antioksidan seperti flavonoid, betakarotena dan fotikimia.  Antioksidan ini mampu melawan radikal bebas.
  4. Purata air dalam jumlah kira-kira 115.82 gram yang terkandung dalam sebiji epal berupaya melembabkan kulit yang kering.
  5. Kajian yang dilakukan oleh saintis British membuktikan mengunyah epal mampu mengubati sakti gigi.
  6. Penyelidik dari Jepun mendakwa amalan mengupas buah epal dapat mengaktifkan bahagian hadapan otak iaitu bahagian yang mengawal pemikiran logik, imaginasi dan penilaian.
  7. Satu kajian mendapati mereka yang makan epal lebih dari lima biji seminggu memiliki fungsi paru-paru yang lebih sihat berbanding mereka yang langsung tidak memakan epal.
  8. Rasa epal yang masam-masam manis boleh mengurangkan rasa mual sekiranya perut terasa sebu.

Monday, 21 February 2011

Tips hilangkan bulu ketiak

Ketika membaca tajuk topik saya kali ini, pasti ramai yang tersenyum siniskan!! He! he!.  Tetapi mungkin inilah yang anda pernah terfikir dan tercari-cari selama ini terutamanya kaum wanita.  Hmm!! petuanya begini......bagi mengelakkan bulu ketiak tumbuh kembali:

  1. Mula-mula cabut semua bulu ketiak sehingga bersih (bukan cukur). 
  2. Celupkan ibu kunyit ke dalam kapur sirih dan gosokkan pada ketiak sehingga rata selama beberapa minit, kemudian bilas dengan air bersih.
  3. Lakukan beberapa kali sehingga anda lihat kesannya.

Sunday, 20 February 2011

Ciku - penawar bawasir

Secara tradisional, buah ciku telah dikenal pasti amat mujarab untuk merawat masalah bawasir (buasir).  Caranya adalah dengan mengambil buah ciku yang belum cukup tua, ditumbuk dan dicampur dengan sedikit air panas dan garam. Minumlah bahan-bahan ini setiap hari sebelum sarapan. 

Selain untuk merawat bawasir, buah ciku juga mengandungi kandungan fiber yang tinggi yang amat mujarab untuk mengatasi masalah sembelit.  Sering memakan buah ciku juga dipercayai  dapat mengurangkan risiko untuk menghadapi kencing manis, darah tinggi dan kanser.  Disamping itu, ciku juga kaya dengan gula bebas, vitamin C dan bahan mineral terutamanya kalsium.

Saturday, 19 February 2011

Senaman untuk ibu mengandung

Senaman Pelvis
Senaman ini baik untuk menguatkan perut, meningkatkan fleksibiliti tulang belakang serta pelvis, dan membantu melegakan sakit belakang.  Setelah mahir posisi ini, anda juga boleh melakukannya semasa berdiri, duduk atau baring.

Langkah-langkah untuk melakukannya :
  1. Mulakan dengan melutut diatas lantai.
  2. Letakkan tangan anda diatas lantai (pastikan tulang belakang anda selari dengan lantai).
  3. Ketatkan otot perut dan punggung, dan bengkokkan pelvis anda ke depan.
  4. Hembuskan nafas anda perlahan-lahan.  Ini akan membuka tulangbelakang anda ke atas.
  5. Kekalkan posisi anda, tarik nafas dan kembali ke posisi asal anda.
  6. Lakukan beberapa kali.